Friday, October 01, 2010

Rindu Penyair Dunia

Adik dan Abang

8.45 pagi

Amir

Masa terasa begitu lambat gerakannya. Tiada apa yang berada di sekelilingku yang ingin aku endahkan sama sekali. Ya Allah, bagaimanakah keadaannya. Fikiranku dari tadi tidak lepas sama sekali dari berandaian negatif. Dari satu ke satu.

“Mir, cepat la datang echa masuk hospital. Ibu tak tahu nak buat apa dah ni,” suara ibuku sedih, sarat dengan tangisan dalam setiap kata-katanya meruntun hatiku. Tidak pernah lagi kudengar suaranya sedemikian sejak aku lahir lagi.

“Apa yang dah jadi bu?” teringat kembali perbualan aku dengan ibu sebentar tadi. Namun soalannya dijawab dengan esakan tangisan. Tanda tanya memenuhi ruang mindaku. “Mir..Mak dapat panggilan dari kawan echa tadi, katanya echa terjatuh masa bersukan, kepalanya terhentak. Sekarang kat hospital ni,” jawab ibu tersekat-sekat menahan sedu.

Degupan jantung yang kencang terasa menyesakkan dada. Risau, cemas dan takut. Semua perasaan itu meruap-ruap di dalam dada. Stering kereta aku pegang dengan penuh longlai. Lemah, seolah-olah tenagaku diresap oleh rasa hati.

Tiada lagi perangkap laju yang dapat memperlahankan kereta yang kupandu. Kereta si kiri dan kanan kudahului pantas, mereka seolah-olah datang dan berlalu pergi. Kesesakan lalu lintas kota diawal pagi telah dilepasi. Tak berhenti hatiku berdoa kepada Allah memohon keselamatan adikku, Aisya.

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus ayat ke 12)

Lemahnya imanku, hanya mengingati Mu wahai maha pencipta ketika dalam kesusahan. Sesekali aku beristighfar mengenangkan kealpaanku selama ini.

“bang mir, erm...nanti, balik umah jangan lupa belikan aisya kasut basketball baru ye,” kata aisya manja.

“Tak habis-habis dengan basketball die, Asignment dah siap ke echa?” kataku selamba seolah-olah mengendahkan permintaanya itu.

“Eh, tukar topik lak bang nih, beli sepasang je ea. Boleh kan bang mir,” Aisya merengek, penuh harapan sambil menggoyang bahuku ketika kami menonton televisyen bersama.

Tiba-tiba sahaja aku teringat perbualan kami di rumah tak lama dahulu. Sebagai satu-satunya abang dalam adik-beradik. aku amat memanjakan adik bongsuku itu. Ayah, Ibu amat menyayangi kami selama ini.

Hanya kami berdua saja yang ibu dan ayah punya, apakan jadi kalau apa-apa berlaku padanya? Ya Allah, selamatkanlah adikku…

Sebagai seorang pelajar perubatan, aku tahu tepat apa kemungkinan yang mungkin jadi padanya. Andaian-demi andaian mula difikirkan. Taip saja di google tentang kejadian hentakan dikepala, dan kesannya sering tragis. Amat menakutkan walau hanya untuk difikirkan. Adikku yang sedang dirawat di wad kecemasan tidak langsung aku tahu keadaanya lagi.

Keretaku yang meluncur laju terhenti di tol lebuhraya. Kereta-kereta yang berbaris menunggu giliran tidak dapat kulepasi. Badanku disandarkan, cuba menenangkan diri dan mencari nafas. Tiba-tiba terpandang botol minyak wangi kecil di atas dashboard.

“Amik la ni bang mir,” Kata aisya menghulurkan sesuatu ke tanganku dengan gembira sekali.

“Ape ni echa? Minyak wangi ek..Hmm,wangi la!” puji ku mencium bau haruman yang dihadiahkan aisya. Aisya memang suka memberi sesuatu yang disukainya kepadaku. Aku terasa begitu dihargai dengan sikap tersebut. Tak hairanlah selang dua tiga hari, pasti kami akan berbual di telefon walau betapa sibuk pun kami dengan tugasan masing-masing. Berbual dengannya membuatkan hati terasa tenang.

“Ni namanya minyak wangi kasturi, Nabi suka wangian ni tau. Siap ada banyak hadis tentang Rasulullah dan wangian,” jelas aisya penuh bersemangat menerangkan perihal wangian tersebut. “Nak saya bacakan hadisnya tak?” sambungnya lagi.

“Oh yeke? Pandainya adik abang ni” jawab aku bersahaja seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenainya. Menjawab bahawa aku telah tahu mungkin memutuskan semangatnya. Mahu lagi aku mendengar penjelasannya, amat menghiburkan.

“Kene pakai selalu ni tau bang mir, semoga boleh menarik seseorang seindah pekerti Isteri Nabi Muhammad, Saidatina Aishah untuk dijadikan kakak ipar echa nanti,” harap Aisyah tersenyum lebar.

Masihkah aku dapat tatap senyuman manisnya lagi? Gundah di hati masih belum dapat ku tenangkan. Dihantar ke hospital sudah pasti menunjukkan kecederaan yang serius. Jika tidak pasti dihantar saja ke unit kesihatan di dalam universitinya itu yang sudah punya doktor sendiri.

*******

9.45 Pagi

Aisya

Pandanganku terasa kabur. Mungkin aku baru terjaga dari tidur yang panjang. Perlahan-lahan aku cuba menggosok mata, tetapi tangan kiriku terasa tersangkut dengan sesuatu. Kepalaku pula terasa berdenyut-denyut.

“Mak cik, Aisya dah jaga mak cik, ” tiba-tiba suara yang biasa aku dengar kedengaran. Apabila pandangan sudah semakin cerah, kulihat di sekelilingku dipenuhi ramai orang. Tanganku dicapai.

“echa, anak ibu rasa macam mana?” Soal ibu membelai tanganku lembut. Apa sebenarnya yang berlaku? Kepalaku yang tidak terasa begitu enak membuatku sukar untuk berfikir dalam. Kak Safiyyah, Kak fath juga ada di sini. Pandangan simpati dari mereka dan keadaan sekeliling menyedarkan aku bahawa aku berada di sebuah hospital.

“echa sakit kepala sikit-sikit je ibu,” ucapku sambil cuba memegang kepala. Ternyata kepalaku dibalut tebal. Seriuskah aku hingga kepalaku dibalut begini? Apa yang sebenarnya telah berlaku?

Pintu kemudiannya dibuka. Ayah masuk bersama abang. Tidak terungkap rasa gembira bertemu abang mir yang sudah lama tidak aku temui. Kini, Semua ahli keluargaku berada di sisi. Tak rugi juga aku masuk hospital. Kesibukan ayah dengan kerjanya beserta abang dengan pelajarannya tidak lagi kelihatan. Mereka kini berada di sini untuk aku. Bahagia dunia terasa. Alhamdulillah, laung hatiku atas kesempatan ini.

“Mesti dari jauh ayah datang kan?” tanya aku apabila ayah datang menghampiriku. Kerjanya memang memerlukannya bergerak jauh dari suatu tempat ke tempat yang lain. Agak jarang untuk aku bertemu dengannya terutama selepas aku mendaftar sebagai seorang pelajar universiti. Abang mir pula tidak dapat aku nafikan, tugasnya sebagai pelajar perubatan membuatkan banyak masa cutinya digunakan untuk belajar. Memang sibuk, tapi nasibku tidaklah malang, ibuku sering menjenguk di kampus. Masakannya menjadi pengubat rindu di hati.

“Abang mir, echa nak cakap sesuatu pada abang mir,” bicaraku perlahan-lahan. Mulutku seolah-olah berbicara sendiri. Entah dari mana aku mendapat kekuatan untuk meluahkan kata-kata yang selama ini aku bekukan di jauh di hati. Semua yang hadir menumpukan penuh perhatian padaku. Terasa kelakar pula, seolah-olah aku akan menyampaikan kata-kata sebelum nafas terakhir. Namun, tidak lagi mahu ku pendam igauan selama ini..

Thursday, September 30, 2010

Professional Talk with Dr. Fazley

Professional talk with Dr. Fazley. Suatu motivasi yang bertajuk from zero to hero.
Sememangnya suatu majlis yang bermanfaat. Walaupun Dr terkenal dalam bidang nyanyian, tetapi amat berkebolehan dalam program motivasi seperti ini. memang isi-isi dalam ceramahnya amat menarik perhatian tidak seperti kebanyakan program motivasi yang lain.

Pengalaman serta kejayaan-kejayaan beliau yang banyak membuatkan kami lebih terpegun. Terutama dengan kisah hidup beliau sendiri, seorang usahawan akademik yang begitu berjaya.

Ayat yang masih saya ingat "to score, we must have a goal".. = untuk berusaha, kita mesti punya matlamat kepada usaha kita itu ^_^, mendalam kan ayat ni?
Sememangnya majlis ini suatu kejayaan. Terima kasih buat semua krew yang terlibat terutama Abang Safuan kita(mantan MPP) selaku pengurus majlis kita ^_^ memang banyak pengalaman abang wan kita ni. Abang Syazwan, abang subuh, Abang Shihab kita pun sama.
Penceramah turut menyanyikan lagu sebagai hadiah kepada kami. Bila april dan sebuah lagu raya. Sebelum ini, saya tak minat sangat pun lagunya, tetapi berubah pulak lepas dapat dengar secara langsung ni..
Walaupun banyak krew dari part 1 (semester 1), namun tetap cekap pengurusannya. pantas! tahniah diucapkan. Dan juga terima kasih kepada abang wan yang menjemput saya sebagai penangkap gambar (bertuah sebab tak perlu bayar pendaftaran..huhu)


Semoga acara bermanfaat sebagini rupa dapat terus dijalankan pada masa hadapan. Tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang membantu majlis pada malam tersebut =)

Rumah Anak-anak Yatim



BISA (Building Surveying Association) dari UiTM Seri Iskandar, Perak telah melawat rumah anak-anak yatim Bait Al-Amin. Selaku ahli majalah kalam(majalah jabatan ukur bangunan), saya turut menyertainya(first time for me).
Nampak tak gambar adik-adik tudung labuh tu? tu semua ahli rumah ni la..sopan-sopan je.





Aktiviti? memasak masakan berbuka puasa. Sementara menunggu masa berbuka, aktiviti gotong royong dan bermain bersama adik-adik dijalankan. Seronok juga bermain-main dengan adik-adik tu. Macam-macam ragam ada, susah nak layan (terpaksa main sahiba, pertama kali main pulak tu..ehehe)..tapi bila fikir balik, tak ape lah..huhu. bukan selalu pun.


Ada juga yang bergusti dengan peserta. memang kelakar adik-adik ni..tak lupa jugak yang suka bermain teka-teki, perah otak nak fikir jawapan..banyak pulak soalannya,dah boleh jilidkan dah..huhu



Apa yang pasti, mereka nampak sangat gembira dengan kehadiran kami yang mesra. Hmm..boleh agak dah kan kenapa? Cerita dari penjaga rumah tersebut tentang cerita adik-adik di sana ada yang sungguh menyedihkan. menjadi ahli sejak kecil lagi, tiada kasih sayang ibu bapa.. Namun kejayaan demi kejayaan dalam hidup bekas ahli rumah ini amat membanggakan. Harap kita yang bertuah dapat lagi membantu mereka..moh le ^_^, Insyaallah.

Terima kasih buat semua ketua program, pensyarah dan peserta. Hidangan amat lazat. Harap dapat meneruskan aktiviti ini ya ^_~

Tuesday, September 21, 2010

Rindu Penyair Dunia

Bab 1 - Dua Dunia

Aisya

11 pagi

“… apa yang mengelamun tu?, khusyuk nampak nya,” sampuk Kak Safiyyah menyentuh bahuku sambil tersenyum lebar. Jalur-jalur lamunanku umpama disentap. Lantas aku menggaru kepala yang tidak gatal dan tersengih malu. Tidak pula aku ungkap apa-apa sebagai jawapan soalannya. Masakan apa yang terbuku di hati mahu kuluahkan di hadapan teman-teman.

Tak sangka pula aku boleh mengelamun di hadapan semua orang, terutama ketika dalam himpunan kami di dalam Pusat Islam ini. Perjumpaan setiap hujung minggu yang aku kenali dengan nama halaqah ini sudah agak lama aku sertai. Usrah, itulah istilah itu lebih dikenali ramai.

Walau terkadang terasa ingin ku penuhi pagi Ahad dengan tidur yang enak atau menyiapkan tugasan-tugasanku yang menimbun, semangat kakak-kakak yang begitu hebat umpama menyucuh pelita diri. Teringat pula ungkapan popular antara kami, Iman tu umpama graf ekonomi negara, turun naiknya siapa yang tahu. Sebelum ianya turun, lebih baik bersedia. Sebab itulah makanan rohani penting untuk iman.

“Eh, tak de pape pun.. Kak saf sambung la ayat akak tadi tu, best saya dengar tau”. Kata ku bersahaja selepas semua mata tertumpu ke arahku. “Saya setuju Aisya, memang mendalam hujah-hujah kak saf tadi,tersentuh sanubari saya,” kata yana bersungguh-sungguh, sesuai dengan pergerakan badannya yang mengiyakan kata-katanya.

“He he he, baik lah yana oi,” jawab kak saf tersenyum lagi, lalu meneliti buku catatan, berfikir ayat agaknya. Memang kak saf terkenal dengan senyumannya serta muka yang ceria, terutama ketika bersama kami. Kakak yang berkaca mata ini berkulit putih gebu dan manis dipandang,comel, namun tegas dalam tindakannya.

Hampir semua pelajar di Universiti ini kenal padanya, hampir terperanjat aku bila mengetahui dia bukan ahli MPP iaitu Majlis Perwakilan Pelajar melalui perwatakannya yang ala-ala pemimpin itu.

Memang aku mengagumi peribadinya, bukan sahaja pandai berteman, tutur bicaranya hebat bak pendakwah muslimah. Dari segi pakaiannya, membuat aku teringat ustazah sekolah menengahku, persis sekali gayanya. Tudungnya labuh, kalau serba-serbi berwarna putih pasti semua akan ingat dia sedang memakai telekung ke mana-mana. Aku pula? Dalam usaha agaknya, itu pun sudah dipanggil ustazah di dalam kelas.

“ Nak sambung apa lagi ya?” kata kak saf seperti kebingungan keputusan idea. Diselak-selak bukunya sampai ke kulit belakang sambil mengetap bibir, bersemangat agaknya nak menyambung perbincangan.

“Sudah-sudah lah tu saf, kesian buku tu aku tengok. Minggu depan plak ea,” tegur Nurfathy. Kak fath pula umpama orang kanan usrah ni, jika kak saf tak dapat hadir, kat fath lah menjadi gantinya. Kemampuan kak fath apa kurangnya, salah seorang MPP yang berkebolehan, gadis tinggi lampai ini kurang ku kenali dengan rapat kerana dia tinggal di asrama di luar kampus. Sukar untuk bertemu ketika hari-hari biasa.

“Kalau macam tu, ada siapa-siapa nak tambah-tambah lagi? Kot-kot ana tersilap ke, boleh diperbetulkan,” kata kak saf. Memang sering dia menggunakan istilah-istilah arab seperti ‘ana’ dalam kata-katanya. Mungkin sudah terbiasa agaknya, sejak bersekolah di sekolah agama di Kelantan sejak kecil lagi menyebabkan istilah-istilah arab sebati dalam kata-katanya. Biarlah begitu, bunyi lebih islamik fikirku. Lagipun memang sedap didengari, walau ada juga ucapan darinya aku sampuk dengan semena-mena disebabkan ada istilah yang digunakan langsung tidak kufaham.

Usrah terdiam seketika, deruan kipas kedengaran jelas kali ini. Mungkin semua sudah kehabisan stok idea atau kepenatan berbicara setelah hampir 3 jam hangat meluahkan ilmu dunia akhirat.

Ke kiri dan ke kanan kepala kak saf memandang mencari seseorang untuk menjawab. Kak fath, yana, idah, adnin dan dayah semua terdiam memandang satu sama lain.

“Hmm..nampaknya kita bincang pasal agenda minggu depan lah pulak ye? Ha fath, ape lagi?” kak saf menyambung. Kak fath lantas mengeluarkan kertas dari fail dan membaca agenda yang sudah sedia terancang. “Ahad depan, lepas tadabbur Al-Quran, Aisya amik bahagian sirah ye, pasal nabi tau. Yang lain tu nanti akak mesej je ye. Kalau susah, contact je akak,” jelas kak fath tegas.

Memang sudah aku nantikan namaku yang pertama disebut, sudah lama aku tidak dipanggil untuk bahagian sirah. Tiga empat minggu ini aku Cuma datang mendengar dan menambah saja keterangan dari sahabat-sahabat yang lain. “Bertambah lagi la keje aku,” desis hatiku.

“Asignment tambahan ni banyak hikmahnya tau” kata kak saf umpama mendengar kata hatiku lalu dibacakan surah Muhammad Ayat 7 yang bermaksud wahai orang-orang beriman, kalau kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. Ya, itulah selalunya ayat yang setiap kali usrah akan diungkapkan. Tidak pula terasa bosan memandangkan ia menyuntik semangat untuk terus dalam usaha ini. Maksud surahnya yang jelas memang mudah difahami walaupun tidak berpendidikan sekolah agama seperti diriku.

Diakhiri dengan bersalaman antara satu sama lain, senyuman pula menjadi penghias tamatnya setiap kali perhimpunan antara kami. Ucapan terima kasih antara satu sama lain memang aktiviti biasa untuk mengeratkan ukhwah antara kami. Ya Allah, kekalkanlah silaturahim kami.

*******

7.15 malam

Amir

“Nak masuk maghrib ni mir, jom la pegi solat dulu,” tegas saiful sambil mengetuk-ngetuk jam tangannya dengan jari telunjuk. Jelas kerisauan di wajahnya,risau terlepas waktu solat.

“Eh, ko gi dulu la. Movie start pukul 7.30, aku takut tak jumpa seat nanti,” balas aku mencari alasan. Terasa berat nak ke tingkat atas sekali untuk ke surau pusat membeli-belah ini.

Malas! Entah mengapa sudah lama aku tinggalkan kewajipan yang sudah ku tahu ianya elemen penting sebagai umat Islam. Jauh dalam hati mahu benar aku mengikutnya menyambut seruan azan. Namun badanku terasa seolah-olah bergerak sendiri menahan kemahuan murni yang terpendam.

Mungkin inilah apa yang pernah Ustaz Zaki dari sekolah ku ungkap sebagai insan yang keras hatinya. Seperti yang pernah dimilliki Umar Al-Khattab sebelum menerima hidayah Islam.

“Biar aku tolong angkat beg korang masuk dulu ye,” sambung ku tetap dengan pendirian. Khairi yang terdiam sejak tadi kehairanan tidak berkata apa-apa dan terus berlalu bersama epol ke tangga. Jahil pula teras diri ini. Namun masih mengapa ini pilihan yang aku pilih? Adakah syaitan sudah berjaya merekrut aku dalam golongan yang sehaluan dengannya? Sudah lama aku ingin bertaubat. Namun terasa buntu usahaku.

Bersekolah agama tidak menyebabkan aku terus mengikut telunjuk guru-guru dari sana setelah aku melanjutkan pelajaran. Mungkin kejutan budaya di kolej yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu mengubah persepsi aku tentang cara melihat dunia. Salah aku juga, tidak bijak memilih teman.

“Kita adalah siapa kawan kita. Berkawan dengan penjual minyak wangi boleh menyebabkan kita membelinya atau mendapat bau haruman, berteman dengan si tukang besi boleh menyebabkan baju terbakar atau berbau busuk,” nyata ustazah Aminah ketika selesai aku menjawab soalan SPM dahulu. Kata-katanya yang ku fikir cetek kini dalam terasa dalam kesannya terhadap diriku.

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar,” bacaan Ibuku memetik surah at-Taubah. Tiba-tiga teringat kata-kata ibu selesai sesi solat subuh berjemaah suatu ketika dahulu di rumah.

Langkah ku terasa longlai menuju ke destinasi, ingatan terhadap ilmu yang ku serap dahulu namun disia-siakan bagai memberatkan fikiran. Tiada masalah yang datang kalau bukan diri sendiri sebagai punca. Ruang yang sesak dengan orang ramai di sekelilingku tidak kurasa. Seolah-olah aku sedang berjalan di ruangan sepi berseorangan bak sang penduka mencari ketenangan.

Setibanya di tempat duduk aku memandang orang-orang sekeliling. Lampu masih belum dipadamkan dan masih ramai yang tercari-cari tempat duduk mereka. Dari pandangan mata, jelas mereka seagama denganku. Masih sempatkah kami solat setelah tamat filem ditayangkan? Tak mungkin rasanya.

Adakah mereka di sini semuanya segolongan denganku? Meremehkan tiang agama? Hati mula terasa pedih memikirkannya. Allah s.w.t telah berfirman: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Hari ini suatu permulaan bagiku untuk suatu perubahan? Lama sudah tidak ditimbulkan begitu banyak persoalan tentang imanku. Cebisan-cebisan memori lama membuak-buak keluar. Usrah yang dahulu setia aku hadir ketika bersekolah menengah tidak lagi aku praktikkan. Benar sungguh usaha dakwah tinggi maknanya. Bukan hanya kepada orang lain, tetapi kepada diri. Umpama menasihati diri sendiri. Ya Allah, lapangkanlah dadaku, berikanlah taufiq hidayahmu.

Sesungguhnya aku rindu, rindu kelazatan solat yang kusyuk. Ketika terasa diri menghadap pencipta alam, kerdil diri terasa. Rindu, sebak... Tiba-tiba air mata ku menitis.



p/s: Harap komen apa yang sesuai ye.tq
Cover page tak sempat disiapkan..huhu
^_~