Adik dan Abang
8.45 pagi
Amir
Masa terasa begitu lambat gerakannya. Tiada apa yang berada di sekelilingku yang ingin aku endahkan sama sekali. Ya Allah, bagaimanakah keadaannya. Fikiranku dari tadi tidak lepas sama sekali dari berandaian negatif. Dari satu ke satu.
“Mir, cepat la datang echa masuk hospital. Ibu tak tahu nak buat apa dah ni,” suara ibuku sedih, sarat dengan tangisan dalam setiap kata-katanya meruntun hatiku. Tidak pernah lagi kudengar suaranya sedemikian sejak aku lahir lagi.
“Apa yang dah jadi bu?” teringat kembali perbualan aku dengan ibu sebentar tadi. Namun soalannya dijawab dengan esakan tangisan. Tanda tanya memenuhi ruang mindaku. “Mir..Mak dapat panggilan dari kawan echa tadi, katanya echa terjatuh masa bersukan, kepalanya terhentak. Sekarang kat hospital ni,” jawab ibu tersekat-sekat menahan sedu.
Degupan jantung yang kencang terasa menyesakkan dada. Risau, cemas dan takut. Semua perasaan itu meruap-ruap di dalam dada. Stering kereta aku pegang dengan penuh longlai. Lemah, seolah-olah tenagaku diresap oleh rasa hati.
Tiada lagi perangkap laju yang dapat memperlahankan kereta yang kupandu. Kereta si kiri dan kanan kudahului pantas, mereka seolah-olah datang dan berlalu pergi. Kesesakan lalu lintas kota diawal pagi telah dilepasi. Tak berhenti hatiku berdoa kepada Allah memohon keselamatan adikku, Aisya.
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus ayat ke 12)
Lemahnya imanku, hanya mengingati Mu wahai maha pencipta ketika dalam kesusahan. Sesekali aku beristighfar mengenangkan kealpaanku selama ini.
“bang mir, erm...nanti, balik umah jangan lupa belikan aisya kasut basketball baru ye,” kata aisya manja.
“Tak habis-habis dengan basketball die, Asignment dah siap ke echa?” kataku selamba seolah-olah mengendahkan permintaanya itu.
“Eh, tukar topik lak bang nih, beli sepasang je ea. Boleh kan bang mir,” Aisya merengek, penuh harapan sambil menggoyang bahuku ketika kami menonton televisyen bersama.
Tiba-tiba sahaja aku teringat perbualan kami di rumah tak lama dahulu. Sebagai satu-satunya abang dalam adik-beradik. aku amat memanjakan adik bongsuku itu. Ayah, Ibu amat menyayangi kami selama ini.
Hanya kami berdua saja yang ibu dan ayah punya, apakan jadi kalau apa-apa berlaku padanya? Ya Allah, selamatkanlah adikku…
Sebagai seorang pelajar perubatan, aku tahu tepat apa kemungkinan yang mungkin jadi padanya. Andaian-demi andaian mula difikirkan. Taip saja di google tentang kejadian hentakan dikepala, dan kesannya sering tragis. Amat menakutkan walau hanya untuk difikirkan. Adikku yang sedang dirawat di wad kecemasan tidak langsung aku tahu keadaanya lagi.
Keretaku yang meluncur laju terhenti di tol lebuhraya. Kereta-kereta yang berbaris menunggu giliran tidak dapat kulepasi. Badanku disandarkan, cuba menenangkan diri dan mencari nafas. Tiba-tiba terpandang botol minyak wangi kecil di atas dashboard.
“Amik la ni bang mir,” Kata aisya menghulurkan sesuatu ke tanganku dengan gembira sekali.
“Ape ni echa? Minyak wangi ek..Hmm,wangi la!” puji ku mencium bau haruman yang dihadiahkan aisya. Aisya memang suka memberi sesuatu yang disukainya kepadaku. Aku terasa begitu dihargai dengan sikap tersebut. Tak hairanlah selang dua tiga hari, pasti kami akan berbual di telefon walau betapa sibuk pun kami dengan tugasan masing-masing. Berbual dengannya membuatkan hati terasa tenang.
“Ni namanya minyak wangi kasturi, Nabi suka wangian ni tau. Siap ada banyak hadis tentang Rasulullah dan wangian,” jelas aisya penuh bersemangat menerangkan perihal wangian tersebut. “Nak saya bacakan hadisnya tak?” sambungnya lagi.
“Oh yeke? Pandainya adik abang ni” jawab aku bersahaja seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenainya. Menjawab bahawa aku telah tahu mungkin memutuskan semangatnya. Mahu lagi aku mendengar penjelasannya, amat menghiburkan.
“Kene pakai selalu ni tau bang mir, semoga boleh menarik seseorang seindah pekerti Isteri Nabi Muhammad, Saidatina Aishah untuk dijadikan kakak ipar echa nanti,” harap Aisyah tersenyum lebar.
Masihkah aku dapat tatap senyuman manisnya lagi? Gundah di hati masih belum dapat ku tenangkan. Dihantar ke hospital sudah pasti menunjukkan kecederaan yang serius. Jika tidak pasti dihantar saja ke unit kesihatan di dalam universitinya itu yang sudah punya doktor sendiri.
*******
9.45 Pagi
Aisya
Pandanganku terasa kabur. Mungkin aku baru terjaga dari tidur yang panjang. Perlahan-lahan aku cuba menggosok mata, tetapi tangan kiriku terasa tersangkut dengan sesuatu. Kepalaku pula terasa berdenyut-denyut.
“Mak cik, Aisya dah jaga mak cik, ” tiba-tiba suara yang biasa aku dengar kedengaran. Apabila pandangan sudah semakin cerah, kulihat di sekelilingku dipenuhi ramai orang. Tanganku dicapai.
“echa, anak ibu rasa macam mana?” Soal ibu membelai tanganku lembut. Apa sebenarnya yang berlaku? Kepalaku yang tidak terasa begitu enak membuatku sukar untuk berfikir dalam. Kak Safiyyah, Kak fath juga ada di sini. Pandangan simpati dari mereka dan keadaan sekeliling menyedarkan aku bahawa aku berada di sebuah hospital.
“echa sakit kepala sikit-sikit je ibu,” ucapku sambil cuba memegang kepala. Ternyata kepalaku dibalut tebal. Seriuskah aku hingga kepalaku dibalut begini? Apa yang sebenarnya telah berlaku?
Pintu kemudiannya dibuka. Ayah masuk bersama abang. Tidak terungkap rasa gembira bertemu abang mir yang sudah lama tidak aku temui. Kini, Semua ahli keluargaku berada di sisi. Tak rugi juga aku masuk hospital. Kesibukan ayah dengan kerjanya beserta abang dengan pelajarannya tidak lagi kelihatan. Mereka kini berada di sini untuk aku. Bahagia dunia terasa. Alhamdulillah, laung hatiku atas kesempatan ini.
“Mesti dari jauh ayah datang kan?” tanya aku apabila ayah datang menghampiriku. Kerjanya memang memerlukannya bergerak jauh dari suatu tempat ke tempat yang lain. Agak jarang untuk aku bertemu dengannya terutama selepas aku mendaftar sebagai seorang pelajar universiti. Abang mir pula tidak dapat aku nafikan, tugasnya sebagai pelajar perubatan membuatkan banyak masa cutinya digunakan untuk belajar. Memang sibuk, tapi nasibku tidaklah malang, ibuku sering menjenguk di kampus. Masakannya menjadi pengubat rindu di hati.
“Abang mir, echa nak cakap sesuatu pada abang mir,” bicaraku perlahan-lahan. Mulutku seolah-olah berbicara sendiri. Entah dari mana aku mendapat kekuatan untuk meluahkan kata-kata yang selama ini aku bekukan di jauh di hati. Semua yang hadir menumpukan penuh perhatian padaku. Terasa kelakar pula, seolah-olah aku akan menyampaikan kata-kata sebelum nafas terakhir. Namun, tidak lagi mahu ku pendam igauan selama ini..
No comments:
Post a Comment